15 Jun 2007

7-SURAT-SURAT DARI SEORANG SAHABAT YANG BELUM PERNAH DITEMUI (7)

Assalamualaikum warahmatullah…
23 April 2007
Yang dikasihi Saudara Azman, semoga bahagia dengan tugas seharian.
Sesungguhnya setelah sebulan Syam mengenali Man dan berhubung melalui telefon atau sms, perubahan yang Syam rasai amat ketara. Bahkan setiap pesanan, kata-kata motivasi yang Man hantar walau pun ringkas dan sedikit, tetapi memberi kesan yang cukup mendalam. Seawal e-mail pertama apabila Man menyebut peri pentingnya kita menjaga Hubungan Dengan Allah ( HDA) sampai ke saat ini Syam masih tetap ingat tentang perkara itu dan berusaha memperbanyakkan zikrullah. Pada hal ianya sesuatu yang sudah difahami oleh Syam tentang mustahaknya kita menjaga Hablum Minallah.
Man , bertahun-tahun lamanya Syam mencari seseorang yang boleh dijadikan sahabat hakiki dunia akhirat , namun seorang pun Syam tidak jumpai. Berapa ramai ahli keluarga samada keluarga di Pasir Mas atau keluarga sebelah isteri di Pasir Puteh, atau sahabat-sahabat yang pernah dikenali selama 38 tahun Syam hidup di atas muka bumi, namun tiada seorang pun yang mampu memberikan sentuhan kepada hati dan jiwa Syam untuk lebih bersemangat dan bermotivasi dalam usaha taqarrub ilallah . Maksud sahabat hakiki ialah bersahabat kerana Allah, pada jalan Allah dan untuk mencari redha dari Allah. Sebagaimana bentuk persahabatan yang wujud dalam kehidupan zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam . Mengenepikan kepentingan peribadi demi mendahulukan kepentingan agama Allah yang mulia.
Syam dapat merasakan bahawa nilai hidayah ( petunjuk) yang Allah kurniakan pada Man adalah tidak sama nilainya dengan petunjuk yang Allah telah kurniakan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang Syam kenali. Man bermula dari kehidupan biasa dan mendapat pendidikan secara formal bukan dari aliran agama ( sekolah arab), namun kasih sayang Allah kpd Man menyebabkan Man berubah setelah berumahtangga dan mendapat cahaya mata pertama. Itulah yang menyebabkan Syam rasa amat tersentuh. Seterusnya Man ada menekankan ( dalam e-mail yg pertama) betapa perlunya kita meletakkan MARDHATILLAH sebagai matlamat tertinggi dalam apa jua usaha kerja yang kita lakukan. Itulah juga yang disentuh oleh Man dalam blog www.azmanmusa.com yang terpampang pada laman utamanya BAHAGIA HIDUP BERIMAN.
Sebenarnya setelah sebulan saya berkenalan dengan Man, secara jujur nak beritahu terasa kasih sayang Allah pada diri ini sangat besar. Saban hari Syam memujiNya.
Al hamdulillah alhamdulillah , subhanallah wabi hamdihi subhanallahil azim . Terasa MasyaAllah begitu banyak sekali nikmat Allah kepada diri ini.
Seperti mendapat satu kekuatan luar biasa , Syam berasa agak mudah untuk bangun malam bertahajjud walaupun sebelum ini agak susah juga kerana banyak halangan. Namun sekarang segala-galanya dipermudahkan oleh Dia Yang Maha Kuasa. Tiada niat utk berbangga dengan apa jua amalan yang dilakukan, sekadar memaklumkan inilah dia hakikat yang Syam lalui sekarang. Bahkan terasa juga hati semakin tenang dan khusyuk serta tabah menghadapi apa jua dugaan hidup.
Man, sebagaimana yang kita maklum , Islam adalah agama ukhuwwah( persaudaraan) dan mahabbah( kasih sayang). Setelah mengenali Man dan mengetahui serba sedikit latar belakang Man, baru sekarang Syam benar-benar dapat rasai keindahan ukhuwwah dalam Islam sekiranya ia dibina diatas dasar kemanisan iman . Betapa mahalnya harga sebuah mahabbah yang diasaskan atas dasar cintakan Allah dan RasulNya. Untuk pengetahuan Man, Syam tidak menceritakan perubahan dalaman yang Syam lalui ini kepada isteri di rumah. Justeru itu dia merasa hairan kenapa Syam bersungguh-sungguh dan beriya sangat mengajak dia dan anak-anak untuk menziarahi Man di Ipoh. Syam hanya beritahu “ Sekadar nak tahu latar belakang kehidupan dia sebelum ini, sebab nilai hidayah yang telah dikurniakan Allah kepadanya agak istimewa” .
Di Malaysia ni, mungkin ramai lagi orang lain yang melalui pengalaman hidup seperti Man. Namun takdir Allah menentukan bahawa saya hanya mengenali Man sahaja, tidak yang lain. Mungkin lepas ini ada lagi orang lain yang berada dalam kategori seperti Man , bakal menjadi rakan saya. Siapa pun kita itu tak penting, kita bekerja makan gaji ke, bekerja sendiri ke, orang kampung ke, orang Bandar ke, di sisi Allah kita sama sahaja. Yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa kepadaNya.
Beberapa hari lepas saya berkesempatan berkenalan (melalui telefon) dengan seorang penulis buku yang sudah lama saya minati iaitu Ustaz Hafiz Firdaus Abdullah. Sekarang dia menetap di Syah Alam. Usianya dua tahun lebih muda dari Syam. Semua bukunya diterbitkan oleh Syarikat JAHABERSA. Bukunya sangat ilmiah. Syam dapat merasai tingginya tahap ilmiah di dalam buku-buku tulisan beliau sebab Syam sendiri dari aliran pengajian agama Fakulti Syariah ( Perundangan Islam ) Universiti Madinah. Alangkat terkejutnya Syam, apabila mengetahui beliau adalah seorang pilot yang bertugas dengan MAS. Setiap hari terbang ke luar negara. Pada awalnya Syam sangka beliau adalah seorang pensyarah universiti lulusan Ph D. Namun sangkaan itu tidak tepat sama sekali. Syam galakkan Man cari buku-buku beliau dan baca sendiri. Untuk mengetahui latar belakang beliau Man boleh buka laman web www.al-firdaus.com / atau sebarang pertanyaan boleh hubungi hafizfirdaus2@yahoo.com.my .
Man yang saya kasihi kerana Allah taala,
seperti yang Syam telah nyatakan dalam surat bersampul besar dulu, biarlah persahabatan dan persaudaraan ini berkekalan sampai bila-bila. Semuanya semata-mata kerana mencari mardhatillah. Bukan untuk tujuan keduniaan. Semoga Allah membersihkan hati kita dari sebarang niat yang tidak baik. Man pernah hantar SMS yang berbunyi “ Aslih Nafsak Wad’u Ghairak ” Qum Daulatal Islam Fir Ardhi ka Sataqumu Ala Ardhika “ . Ungkapan ini adalah kata-kata pemimpin jemaah Ikhwan Muslimin di Mesir . Cuma tak pasti ianya kata-kata Ustaz Mustapa Masyhur atau Hasan Hudhaibi . Syam telah mendengar ungkapan ini semasa di tingkatan empat ketika menuntut di Kolej Islam Kelang ( 1985-1986) . Semua sms yang Man hantar dan mengandungi kata-kata motivasi dan pemberi semangat ; Syam masih simpan dalam handset ( tak padam) .
Jadi kalau tak menyusahkan Syam harap lepas ini, Man tulislah apa –apa yang menyegarkan minda ini ( mafhum hadis, kata-kata hiknah dari para hukama’ dan sebagainya) asalkan ianya tidak membebankan Man. Itu pun bukannya tiap-tiap hari, Cuma sekali-sekala.
Syam ingin memetik sebuah kisah di mana Nabi Isa alaihissalam berpesan kepada Bani Israil agar menjauhi manusia-manusia yang rosak hatinya dan jangan bergaul dengan mereka. Lalu berkatalah Bani Israel ‘Wahai Nabi Allah ! Apa yang perlu kami buat? Maka jawab Nabi Isa “ Duduklah kamu bersama dengan orang yang menjadikan kamu mengingati ALLAH tatkala melihatnya, orang yang dapat menambahkan iman kamu dengan sebab kata-katanya, dan orang yang menambahkan minat kamu terhadap akhirat dengan sebab amal ibadatnya” .
Alangkah bagusnya kalau kita termasuk dalam kategori yang dinyatakan oleh Nabi Isa alahissalam itu.
Sebagai penutup kata, Syam dengan rasa penuh rendah diri ingin memberitahu bahawa Syam mahu menganggap Man sebagai sebahagian ahli keluarga. Walaupun pada hakikatnya kita bukan ahli keluarga dan baru saja berkenalan hampir sebulan. Persaudaraan yang terjalin atas dasar keimanan sememangnya lebih kukuh dari hubungan persaudaraan atas dasar kekeluargaan semata-mata. Asalkan niat kita ikhlas kerana Allah. Adalah tidak keterlaluan kalau Syam menganggap Man sebagai abang dan Syam pula sebagai adik . Setuju ke?
Kalau Man setuju , Syam hanya dapat katakan Alhamdulillah ala kulli nikmah, TAPI kalau Man tak berapa setuju pun tak mengapa.
Biarlah kita saling nasihat menasihati , ingat mengingatkan satu sama lain dalam perkara yang membawa kita ke jalan Allah. Kita bertolak ansur, bersangka baik, Bantu membantu mengikut kadar yang termampu. Kadang-kadang apabila Syam melihat anak-anak Syam bermain-main depan rumah , teringat kpd anak-anak Man. Ketuju-tujuh org anak Man, Syam dah hafal nama mereka. Teringin sangat nak jumpa mereka; Abdul Hadi, Abdul hakim, Umi Afiqah, Muhammad Harris, Muhammad Hafis, Ummu Zainab dan Abdullah Zubair. Tapi sampai saat ini tak berpeluang nak tengok gambar dia orang.
Sampai setakat dulu. Mudah-mudahan diiizinkan Allah taala untuk segera kita berjumpa.
Assalamualaikum,
Abu kamil Al Hafiz
.

Tiada ulasan: