15 Jun 2007

1-SURAT-SURAT DARI SEORANG SAHABAT YANG BELUM PERNAH DITEMUI.

Badrul Hisham b Sulaiman
Kota Bharu.
Assalamualaikum ,
Kehadapan saudara Azman yang dikasihi, semoga sentiasa sihat sejahtera dan ceria bersama keluarga dan tugas –tugas harian . Tujuan surat ini ditulis agar kita saling dapat kenal mengenal dengan lebih dekat
antara satu sama lain. Saya tidak mempunyai sebarang tujuan atau motif lain selain dari bertujuan mencari keredhaan Allah melalui persahabatan yang dibina atas rasa ukhuwah Islamiah dan kasih sayang sesama umat Nabi Muhammad s.a.w. . Sebenarnya saya sudah mempunyai ramai kawan dan kenalan dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya masyarakat sekitar Kota Bharu dan juga dalam negeri Kelantan. Alangkah baiknya sekiranya saya dapat menambah kenalan saya dari kalangan penduduk luar Kelantan pula. Sebelum saya menulis lebih panjang, sukalah saya beritahu bahawa saya suka berkawan dengan sesiapa saja tanpa mengira latar belakang pendidikannya, keluarganya atau taraf sosio ekonominya. Asalkan orang berkenaan juga mempunyai fikrah yang jelas tentang matlamat hidup adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan sama-sama berjalan di atas jalan menuju kepadaNya. Saya sedia menerima seseorang sebagai kawan saya dengan seadanya, kerana kita adalah hamba-hamba Allah yang dihidupkan untuk sementara waktu sahaja , menanti saat untuk kembali kepadaNya. Setiap orang di kalangan kita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing .
Saudaraku yang dikasihi,
Saya dilahirkan di Bandar Pasir Mas pada tahun 1969. Dibesarkan dalam keluarga yang kuat berpegang kepada ajaran agama. Sejak dari kecil dilatih dengan amalan solat berjemaah dan belajar membaca Al Quran. Saya belajar di sekolah menengah agama arab pasir mas ( tingkatan 1 hingga tingkatan 3) Kemudian ke Kolej Islam Kelang ( sekarang dikenali dengan Kolej Islam Sultan Alam Shah) tingkatan 4 dan lima pada tahun 1985-1986. Semasa di Kolej Islam saya didedahkan dengan bermacam program dakwah seperti usrah, tamrin, mukhayyam dan qiamullail. Walaupun mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM, saya tidak berminat untuk menyambung pengajian di universiti tempatan. Saya lebih berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang agama di Timur Tengah. Alhamdulillah, cita-cita saya dimakbulkan Allah. Pada tahun 1988, saya mendapat tawaran menyambung pengajian ke Universiti Islam Madinah, Saudi Arabia dalam Fakulti Syariah. Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang tahfiz Quran, saya berusaha menamatkan hafalan 30 juzuk Al Quran selama tempoh 4 tahun berada di bumi bertuah Madinah. Sebenarnya saya sudah mula menghafal Al Quran sejak dari tkn. 5. Satu nikmat kurniaan Allah yang paling besar dalam hidup saya. Nikmat Al Quran.
Bapa saya sudah lama meninggal dunia. Ibu saya masih ada tetapi usianya sudah mencecah 75 tahun. Ibu tinggal di Pasir Mas bersama kakak saya yang baru kematian suaminya pertengahan tahun lepas. Saya memang berasal dari keluarga yang susah. Lagi pun arwah bapa dulu hanya bekerja sendiri. Bukan kerja makan gaji. Pendapatan pun tidak menentu. Saya mempunyai 8 orang adik beradik. Saya anak yang ketujuh. Semuanya sudah berumahtangga. Bahkan 3 orang kakak saya sudah ada menantu dan cucu.
Saya mendirikan rumahtangga pada tahun 1995. Sekarang mempunyai 5 cahayamata. 3 lelaki dan 2 perempuan. Isteri saya bertugas sebagai guru agama (ustazah) di salah sebuah sekolah kebangsaan di Kota Bharu. Selepas pulang dari madinah pada tahun 1992, saya mengambil Diploma Pendidikan di UIA. Pernah bertugas sebagai guru di SMU (A) Maahad Muhammadi Lelaki selama 11 tahun ( 1995-2006) . Pada awal tahun ini , saya ditukarkan ke Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, Machang. Berbanding sekolah asal, sekolah baru ini agak jauh dari rumah saya. Hobi saya ialah membaca, mendengar bacaan Al Quran dan berkenalan. Saya juga sering dijemput sebagai khatib untuk menyampaikan khutbah jumaat. Sebagai seorang hafiz, saya juga diminta untuk menjadi imam solat terawih setiap tahun.
Saudaraku yang dikasihi,
Walau apa pun keadaan saudara, saya tetap mahu bersahabat dengan saudara dan saya harap saudara sudi menerima saya sebagai seorang sahabat. Saya dan anak-anak memang suka makan roti canai. Tapi tak boleh makan setiap hari nanti banyak kolesterol dalam badan. Mudah-mudahan Allah mengizinkan kita untuk berjumpa satu hari nanti.
Saya sebenarnya sangat meminati dunia perniagaan dan keusahawanan. Saya sememangnya lebih berminat kerja sendiri. Oleh kerana saya dari aliran pendidikan agama, rasanya dengan melibatkan diri dunia pendidikan adalah jalan terbaik agar ilmu berkenaan terus hidup dalam jiwa kita.
Saya sebenarnya kagum dengan kegigihan saudara membina kehidupan sebagai peniaga setelah menimba pengalaman bekerja di kedai roti canai mamak selama 5 tahun; walaupun sebelum ini terpaksa bekerja setiap hari dengan bayaran 30 ringgit sehari. Saya seronok melihat ramai orang Islam di negara kita semakin maju dalam perniagaan. Di kelantan sendiri , saya lihat semakin banyak pasaraya milik orang Islam di sana sini.
Saudaraku,
Oleh kerana umur kita sebaya, izinkan saya memanggil saudara dengan nama “Man “. Boleh tak? Saya lebih suka dipanggil “ Syam “. Ahli keluarga dan orang kampung panggil saya Syam . Kawan-kawan di sekolah dan juga ahli jemaah di masjid memanggil saya “ Ustaz Syam “ atau “ Ustaz Bad “ . Mana-mana satu pun boleh. OK lah kita jumpa lagi dalam surat akan datang. Sebelum berpisah, jangan lupa setiap pagi kalau ada kesempatan , baca Surah Al Waaqiah dan juga wirid ma’thurat.
Mudah-mudahan dengan persahabatan yang terjalin ini, kehidupan kita mendapat berkat dari Allah.
Sekian asssalamualaikum.
Akhukum Fil Islam
AbiKamil 20/3/2007

Tiada ulasan: